Semalam, Hari Ini dan Esok
#Situasi
Seorang pensyarah terserempak dan bertanya pada pelajar dibawah seliaan beliau di fakulti : "Sila hantar draf thesis awak yang saya betulkan pada minggu lepas"
"Esok Insya-Allah saya letak di atas meja Prof", jawab pelajar itu dengan yakin.
"Esok lagi? bukan ke semalam pun kamu jawab demikian? Jadi bila sebenarnya kamu boleh siapkan dan hantar? Sudah berapa kali esok kamu janjikan..."
Situasi di atas merupakan salah satu fenomena yang paling biasa ditemui dalam kehidupan harian kita, tak kira samada di sekolah, pejabat, rumah mahupun dalam sebuah organisasi. Malahan ianya menjadi kebiasaan bagi sesetengah masyarakat kita untuk bertangguh sesuatu tugasan dengan alasan untuk menyiapkannya ESOK.
Esok merupakan kalimah yang 'angker', keramat dan unik kerana bagaimana kita ingin mengejar esok?
Bagaimana mungkin kita mengejar esok yang tidak kunjung tiba sehingga tibanya penghujung kehidupan. Semalam adalah hari esok untuk hari kelmarin seperti hari ini adalah hari semalam untuk esok. Apabila kita mengatakan "esok", tetapi apabila tiba waktunya ia tidak lagi dipanggil "esok" tetapi "hari ini". Unik bukan?
Betapa ramai diantara kita yang sering menyesali pemergian esok apabila gagal mengisinya sebaik yang mungkin pada hari ini. Apabila esok menjadi semalam dan kita masih tidak dapat menunaikan janji untuk esok yang pernah dilafazkan, maka tiada apa-apa yang diperolehi selain penyesalan yang tak sudah.
Benar kata Imam Ghazali: "Kehidupan ini cuma tiga detik; sesaat yang berlalu tidak dapat kita ubah lagi, sesaat yang sedang dilalui ini dimanfaatkan sebaiknya dan sesaat yang akan tiba belum pasti kita temui."
Nah renungkan ungkapan diatas kerana semalam, hari ini dan esok adalah susunan yang berturutan dan sentiasa berulangan. Semalam sudah menjadi sejarah yang tidak boleh diubah dan dipinda lagi. Sejarah yang telah menjadi sebahagian catatan kehidupan kita. Amalan semalam telah juga tercatat dalam buku amalan kita dan hanya menunggu untuk ditimbang dan dinilai pada hari kebangkitan kelak.
Nah renungkan ungkapan diatas kerana semalam, hari ini dan esok adalah susunan yang berturutan dan sentiasa berulangan. Semalam sudah menjadi sejarah yang tidak boleh diubah dan dipinda lagi. Sejarah yang telah menjadi sebahagian catatan kehidupan kita. Amalan semalam telah juga tercatat dalam buku amalan kita dan hanya menunggu untuk ditimbang dan dinilai pada hari kebangkitan kelak.
Hari ini adalah saat kita menulis sejarah, maka tulislah dengan pena hikmah agar menjadi catatan emas dan sejarah gemilang untuk masa hadapan. Jika kita gagal menulis amalan hari ini dengan catatan amal soleh maka ia tidak dapat diubah pada hari esok tetapi dapat diganti dengan taubat nasuha kerana pintu taubat itu sentiasa terbuka. Kita sentiasa diberi peluang untuk bertaubat sepertimana firman Allah SWT mafhumnya:
“Katakanlah (wahai Muhammad): wahai hamba-hambaku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia jualah Yang Maha Pengampun,lagi Maha Mengasihani”
(Al zumar:39)
Rasulullah saw juga bersabda: “Allah akan menerima taubat hambaNya selama mana nyawa belum sampai ke lehernya.”
Begitu besar nikmat dan rahmat yang telah Allah berikan pada kita pada hari ini sehingga kita sendiri mampu menutup kesilapan lalu dengan izin Allah, perkara ini sering kali kita lupa untuk memanjatkan kesyukuran.
Catatan hari ini bakal menentukan nasib kita pada hari perhitungan kelak. Adapun hari esok hanya satu kemungkinan. Mungkin kita dapat temui, mungkin juga tidak sempat kerana ajal dan maut boleh tiba bila-bila masa tanpa kita sedari. Selagi kita mengejar esok, kita akan lupa untuk menggandakan potensi dan amalan kita pada hari ini. Justeru orang yang bijak sahaja yang akan melaksanakan amalannya pada hari ini tanpa menunda ke hari esok. Bertangguh daripada pagi ke petang juga dikira sebagai perkara yang merugikan.
Benarlah sabda Rasulullah s.a.w ketika berpesan kepada Ibn Umar, beliau memberitahu Rasulullah telah memegang bahunya dan bersabda yang bermaksud: "Anggaplah dirimu di dunia ini sebagai seorang perantau atau pengembara."
Ibn Umar berkata:"Jika engkau berada pada waktu petang, maka janganlah engkau menunggu waktu pagi. Dan jika engkau berada pada waktu pagi, maka janganlah engkau menunggu waktu petang. Gunakan waktu sihatmu sebelum datang sakit. Dan gunakan waktu hidupmu sebelum datang waktu mati." (Riwayat al-Bukhari)
Pergunakan hari ini untuk kearah yang lebih baik daripada hari semalam tanpa menanti hari esok. Selagi kita suka bertangguh, "esok" yang sebenar tidak akan muncul dalam kehidupan kita. Islam mengajar kita merancang sesuatu yang perkara dengan mudah dan berkualiti. Ini membuktikan bahawa Islam itu sangat indah jika kita betul-betul beramal dan mempraktikkan dalam kehidupan seharian.
Syukur Alhamdullilah kita masih diberi kesempatan hari ini untuk beramal sehingga menjelang esok dan seterusnya.
Elakkan bertangguh dan merancang pada hari ini bermakna kita merangka kemenangan untuk esok. Gagal merancang pada hari ini bermakna kita menempah kegagalan menghadapi hari esok. Hari ini sudah pasti, sedangkan esok hanya satu kebarangkalian.
Wallahualam.
Rumusan hasil nukilan Ir. Ahmad Jais Alias Al-Syazili solusi isu no.49.


No comments:
Post a Comment